Khas Untuk Yang Sukakan Cabaran...
Selamat datang ke blog yang memaparkan kisah-kisah kehidupan
dan perkongsian tentang bekerja di dalam industri minyak dan gas di luar
pantai. Ramai di kalangan kita mungkin mengetahui serba sedikit ataupun bagi yang baru bermula
untuk menceburi bidang ini akan mengetahui bagaimana pekerja-pekerja minyak dan
gas di luar pantai (offshore) itu bekerja dan bagaimanakah tentang kehidupan
mereka ketika berada disana.
Itu tidak menjadi masalah ,kerana blog ini saya reka khas untuk
mereka-mereka yang inginkan informasi untuk berkongsi tentang kisah
pekerja-pekerja “offshore” yang mana agak popular juga pada masa kini. Boleh
dikatakan majoriti pekerja-pekerja yang bekerja
di dalam industri ini di monopoli oleh kaum lelaki. Ini disebabkan oleh
keadaan kerja nya yang agak mencabar, di tambah lagi dengan keadaan cuaca yang
kadangkala agak memberhayakan kita.
Namun begitu, dengan adanya sistem keselamatan dan kesihatan
yang telah diwujudkan oleh semua
organisasi minyak dan gas ini, ia telah membantu mengurangkan berlakunya kemalangan
kepada pekerja-pekerja.Di dalam industri ini, ia melibatkan perlbagai jenis
jawatan yang ada mengikut jenis pekerjaan yang dilakukan.
Saya merupakan seorang pekerja minyak dan gas semenjak dari
2009 hinggalah sekarang (2015). Boleh dikatakan saya ni masih baru lagi di
dalam industri ini. Namun pada tahun 2015 ini adalah merupakan tahun yang agak
mencabar juga bagi saya, kerana disebabkan oleh kejatuhan harga minyak yang
mendadak. Ramai juga di antara rakan-rakan sekerja yang kehilangan kerja di
sebabkan oleh pengurangan kos oleh syarikat-syarikat minyak dan gas. Walaupun
begitu, ia bukanlah satu penghalang bagi saya untuk memberi informasi kepada
anda.
Apakah Perkara Asas Yang Anda Perlu Tahu?
Saya andaikan anda
seorang yang tidak pernah bekerja di dalam industri ini dan kemungkinan besar
mempunyai minat untuk bekerja di dalam bidang yang mencabar dan mempunyai
bayaran upah yang tiada batasan ini. Jadi, bagaimanakah kita boleh menceburi
bidang ini?
Jika anda benar-benar berminat, perkara utama yang anda
perlu buat ialah anda haruslah mempunyai kursus-kursus keselamatan dan kesihatan.
Contoh Kursus-Kursus:
1. Medical Check Up – Cek kat doktor panel yang di iktiraf
oleh Shell atau Petronas.
2. TBOSIET – Pusat latihan biasanya MSTS, BSTS,SMTC.(di Miri, Sarawak)
3. Offshore Safety Passport – Merupakan satu kad untuk
menyimpan data tentang tarikh medical check up dan TBOSIET anda. Kad ini akan disediakan oleh syarikat di mana anda bekerja.
Itulah antara perkara-perkara asas yang perlu anda sediakan sendiri sekiranya anda secara individu dan belum ada syarikat yang menaja untuk anda. Namun begitu, sekiranya anda telahpun mendapat kerja kelak, barulah anda tak perlu keluarkan duit lagi untuk
memperbaharuinya kerana syarikat tempat anda bekerja tersebut akan membayarnya. Sebenarnya, ada banyak lagi kursus-kursus yang anda perlu
ikuti, tetapi, ianya bergantung kepada jenis pekerjaan anda, dan anda tak perlu
risau kerana kursus-kursus itu akan di sediakan oleh syarikat anda nanti.
Jenis Tempat Bekerja Di Luar Pantai /
Offshore:
Masa pertama kali nak pergi bekerja di luar pantai
“offshore”, banyak persoalan yang timbul di dalam kepala. Ia adalah satu
pengalaman yang bercampur baur jika kita tidak dapat bayangkan bagaimana
keaadan disana, betul tak?hehe..kadang-kadang ada rasa teruja, ada rasa takut
juga..hehe..
Walaupun kita banyak bertanya kepada rakan-rakan atau
saudara mara kita, yang memang bekerja di dalam bidang ini, namun kita tetap
juga tidak mendapat gambaran yang jelas melainkan kita sendiri yang harus mengalaminya. Di dalam industri minyak dan
gas ini, terdapat pelbagai jenis Kapal dan Pelantar Minyak mengikut jenis kerja
yang anda lakukan.
Antara contoh-contoh yang anda boleh ketahui ialah;
1. Fix/Production Platform – Pelantar minyak yang kekal
untuk bertahun lamanya.
2. Jack-up rig – Sebuah kapal besar yang mempunyai 3 kaki
yang boleh turun naik. Biasanya digunakan untuk penggerudian minyak atau
“Drilling”.
3. Semisubmersible - Sebuah kapal besar yang terapung.
Biasanya digunakan untuk penggerudian minyak atau “Drilling”.
4. Barge / Tender – Sebuah kapal besar yang berbentuk segi empat
bertujuan untuk pelbagai guna. Boleh di jadikan khas untuk penginapan sahaja.
5. FPSO / Tanker storage – Kapal untuk penyimpanan/penghantaran
minyak mentah untuk pemprosesan ke darat.
6. Workboat/Standby Boat/Supply Boat – Kapal bersaiz lebih
kecil dan sederhana untuk perkhidmatan kargo dan untuk operasi kerja yang lebih
kecil.
Ini adalah antara tempat ataupun fasiliti yang sering digunakan
di perairan cetek dan laut dalam. Ada banyak lagi jenis kapal-kapal lain yang akan
anda ketahui nanti. Ke semua fasiliti tersebut mempunyai peraturan yang berbeza namun ia tetap menjuruskan ke arah perkara yang sama iaitu keselamatan.
Apakah Perkara Yang Terpenting?
Keselamatan adalah satu aspek yang amat dititikberatkan di dalam industri ini kerana ia adalah satu undang-undang yang telah digubal bukan sahaja di negara kita malah juga di negara-negara yang lain. Hal yang demikian boleh mengakibatkan kita dikenakan hukuman sekiranya di dapati bersalah kerana melanggar apa sahaja peraturan keselamatan di dalam industri ini kerana ada diantara peraturannya adalah mandatori.
Anda akan di dedahkan dengan banyak maklumat tentang peraturan keselamatan setibanya anda di sana nanti. Perkara asas adalah anda haruslah mengetahui di manakah rakit atau bot keselamatan yang telah di khas kan untuk anda sekiranya berlaku kecemasan. Anda juga harus peka di manakah tempat anda harus berkumpul sekiranya berlaku kecemasan. Namun begitu, anda tidak perlu risau kerana latihan akan diadakan setiap minggu untuk menguji semua pekerja agar kita sentiasa peka sekiranya berlaku kecemasan yang sebenar.
Di setiap tempat terdapat banyak pelekat keselamatan yang memberi anda maklumat. Pastikan anda mengetahui setiap maksud pelekat-pelekat tersebut. Banyak bertanyakan soalan kepada rakan sekerja yang sudah berpengalaman sekiranya anda tidak faham tentang peraturan keselamatan di tempat anda bekerja. Hal ini penting, kerana ia adalah untuk menyelamatkan nyawa anda sekiranya kecemasan benar-benar terjadi. Jagalah diri anda dan juga semua orang yang berada di sekeliling.